Anuar Zain Tolak Tawaran Jadi Juri.

.
PETALING JAYA (Selangor)  - Penyanyi Anuar Zain tidak berminat untuk terlibat sebagai juri atau mentor dalam mana-mana program realiti buat masa ini.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 45, berkata, selain kekangan masa dia lebih selesa memberikan tumpuan kepada karier nyanyian berbanding perkara lain.
“Bukan hendak jaga eksklusif diri atau isu lain tetapi buat masa ini memang saya belum bersedia untuk terlibat dalam apa juga peranan dalam mengadili peserta program realiti.
“Ini kerana saya lebih selesa bergelar penyanyi dah hanya mahu fokus kepada perkara itu sahaja,” katanya kepada mStar Online.
Anuar ditemui pada majlis pelancaran album Anuar Zain – Tiga Dekat Muzik, Cinta Dan Sanubari Live In Concert yang diadakan di TGV One Utama di sini pada Selasa.
Tambah Anuar, sebelum ini ada beberapa pihak produksi membuat tawaran kepadanya namun dia menolak secara baik.
“Untuk menjadi mentor atau juri memerlukan komitmen yang cukup tinggi dan banyak produksi bertanya sekiranya saya berminat tetapi terpaksa menolak secara baik,” katanya.
Dalam pada itu, Anuar berkata, tahun ini dia merancang untuk mengadakan sebuah lagi konsert berskala besar selepas kejayaan persembahan pertama yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam dua tahun lalu.
Jelas Anuar, pengalaman menerbitkan sendiri konsert berkenaan menerusi syarikatnya, Anuar Zain Network akan digunakan untuk membuat penambahbaikkan kepada konsert keduanya itu nanti.
“Sebenarnya saya rancang untuk mengadakan konsert kedua pada tahun lalu tetapi disebabkan beberapa masalah ia terpaksa ditunda.
“Bagaimanapun tahun ini saya harap impian untuk mengadakan konsert tersebut akan menjadi kenyataan tambahan pula mendapat permintaan daripada peminat,” katanya.
Bagaimanapun kata Anuar, dalam masa terdekat dia bakal mengadakan konsert di The Star Theatre, Singapura pada 7 Februari depan.
Kata Anuar, konsert yang diberi judul Anuar Zain Three Decades of Music itu akan menyaksikan dia menyampaikan seleksi lagu-lagu hitnya dan berharap ia akan turut mendapat sambutan penonton negara ini.
Sementara itu, Anuar berkata, dia juga sedang dalam proses merakamkan album terbaharunya dan memberitahu sudah pun mempunyai lima buah lagu untuk dimuatkan dalam album berkenaan.
Katanya, biarpun sedar penjualan album tidak menentu buat masa ini namun dia tetap menghasilkan album penuh demi peminatnya.
“Saya masih memilih dua buah lagu lagi untuk dimasukkan ke dalam album berkenaan dan Insya-Allah ia akan dilancarkan dalam tahun ini juga.
“Saya tetap hendak hasilkan album berbanding single kerana ini adalah cara untuk saya menghargai peminat dan menunjukkan rasa kasih sayang kepada mereka,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Anuar berkata, Anuar Zain – Tiga Dekat Muzik, Cinta Dan Sanubari Live In Concert’ hanya dilancarkan selepas dua tahun persembahan itu berakhir kerana pihaknya terikat dengan beberapa syarat selepas ia disiarkan menerusi NTV7 tahun lalu.
“Konsert ini pernah ditayangkan di NTV7 sebelum ini dan ada tempoh tertentu ditetapkan oleh pihak stesen sebelum ia boleh dilancarkan dalam bentuk CD, VCD dan DVD.
“Bagaimanapun pihak Anuar Zain Network dan Universal Music ada strategi tertentu dan merasakan sekarang paling sesuai untuk melancarkan album berkenaan,” jelasnya.
Malah konsert berkenaan akan ditayangkan secara eksklusif di TGV One Utama pada 15 Februari depan pada pukul 3 petang khas buat peminat hanya untuk sehari.
Untuk tempahan tiket tayangan istimewa itu boleh melayari www.tgv.com.my atau laman Facebook TGV Cinemas. – mStar Online

0 Response to "Anuar Zain Tolak Tawaran Jadi Juri."

Post a Comment