Jawi kerjasama dapatkan gadis bertudung.

.


Kumpulan K-Pop, B1A4 yang mencetuskan kontroversi di Malaysia membabitkan tiga gadis bertudung dalam mini konsert mereka, baru-baru ini.
JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kini cuba mendapatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan tiga gadis Muslim yang terbabit dalam video konsert K-pop yang viral baru-baru ini.
Dalam video berkenaan ketiga-tiga gadis itu dilihat berpeluk, dipeluk dan dicium anggota kumpulan B1A4 sehingga mencetuskan kemarahan rakyat negara ini yang sebahagian besarnya beragama Islam.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan JAWI, Wan Jaafar Wan Ahmad, sehingga semalam, masih belum ada sesiapa tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam laporan Mstar Online, pihak JAWI juga dikatakan cuba untuk mendapatkan maklumat butiran peribadi mereka daripada penganjur konsert tetapi dimaklumkan bahawa identiti ketiga-tiganya tidak akan didedahkan.
“Kita akan mendapatkan kerjasama PDRM (Polis Diraja Malaysia) bagi membantu mengenal pasti identiti mereka. Ini supaya mereka dapat tampil membantu siasatan,” katanya.
JAWI dalam satu kenyataan kelmarin mengatakan akan memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap kepada tiga wanita berkenaan sekiranya mereka tidak tampil untuk membantu siasatan dalam masa seminggu. – MYNEWSHUB.CC

0 Response to "Jawi kerjasama dapatkan gadis bertudung."

Post a Comment